Wednesday, August 12, 2009

Nostalgia Hidup Di Kampung

Berikut ialah nukilan seorang blogger tentang nostalgia hidupnya dalam masyarakat berbilang etnik:

OGOS 13 — Saya seorang Melayu. Bapa dan ibu saya orang Melayu. Jua ibubapa mereka.

Saya dilahirkan di awal 60an di sebuah kampung terpencil di Kedah, yang rata-rata penduduknya dibelenggu kemiskinan dan kerumitan. Boleh dikatakan semua penduduk Melayu di kampung tersebut mengusahakan sawah bendang, samada yang memiliki tanah ataupun yang menyewa tanah.

Terdapat beberapa keluarga Cina — dalam ingatan saya di sekitar 10 hingga 15 keluarga — di kampung saya. Umumnya, penduduk Cina tinggal di sekitar pusat kampung, iaitu di kawasan yang dekat dengan jalan utama menuju ke Alor Star. Dua atau tiga keluarga Cina sememangnya orang berada. Mereka menguasai pasaran padi dan beras. Malah mereka juga mempunyai kilang beras sendiri. Penjualan dan pembelian padi hampir dimonopoli oleh peniaga-peniaga Cina tersebut.

Yang lainnya menjalankan perniagaan runcit, tukang jahit, mekanik dan sebagainya. Pada masa tersebut, padi hanya dapat ditanam sekali setahun kerana kekurangan air dan saluran air. Jadi setiap tahun, sawah bendang hanya akan terbiar selama lebih kurang 6 bulan setiap tahun kerana ketiadaan air. Pada masa itu pesawah-pesawah tidak akan mempunyai sumber pendapatan.

Lalu apa yang terjadi ialah pesawah-pesawah terpaksa mengambil pinjaman dari kaum Cina, samada yang berniaga beras ataupun yang berniaga runcit. Hutang-hutang ini akan dilangsaikan apabila padi dituai dan dijual kepada mereka pada akhir musim menuai kelak. Itu lah yang berlaku saban musim dan saban tahun. Ianya bagai satu litaran hidup dikampung saya.

Namun saya tidak pernah bersemuka dengan apa-apa kemelut perkauman. Ianya bagai satu sistem ekonomi mikro yang diamalkan berabad lama. Yang sudah menjadi lumrah.

13hb May 1969 hanya saya ingat sebagai satu jangkamasa di mana sekolah saya ditutup. Yang saya ingat mengenai tarikh tersebut ialah terdapatnya kekacauan dan terdapat perintah berkurung. Lalu saya tidak dapat ke sekolah. Itulah satu-satunya ingatan saya mengenai peristiwa tersebut.

Pada awal 70an, ketika kerajaan Kedah diterajui oleh Datuk Syed Nahar, saya masih ingat beliau telah memulakan satu projek yang sungguh-sungguh membawa perubahan ekonomi kepada pesawah-pesawah di Kedah amnya dan di kampung saya terutamanya. Beliau sedar yang bekalan air adalah kunci penanaman padi. Beliau tidak mahu lagi sawah bendang terbiar kekontangan selama 6 bulan setiap tahun apabila datangnya musim kemarau.

Lalu kerajaan melancarkan satu usaha untuk mengorek "parit-parit gila" di serata Kedah. Umumnya sungai-sungai kecil digali dari sungai-sungai utama ataupun punca-punca air utama menuju ke sawah bendang. Dari sungai-sungai kecil ini, parit-parit kecil digali menuju ke tanah-tanah sawah untuk membawa bekalan air. Ini membolehkan bekalan air sampai ke tanah-tanah bendang setiap masa. Pada musim hujan, air akan ditakung di dalam sungai utama dan air itu akan dilepaskan ke dalam sungai-sungai kecil dan parit-parit gila tersebut pada musim kemarau.

Saya tidak pernah tahu kenapa parit-parit itu dipanggil "parit gila". Hanya saya dapat agak kenapa. Parit-parit itu tidak mempunyai apa-apa hala yang tertentu. Ianya mempunyai halatuju yang tidak bersistem. Malah kalau dilihat dari udara, parit-parit tersebut bagai jalan-jalan yang tidak berarah, macam sesuatu yang gila. Maka dipanggilah parit-parit tersebut "parit gila". Itulah kefahaman saya.

Pada setiap hari raya, selesai sahaja saya mandi dan berbaju raya, saya akan bermaaf-maafan dengan ibubapa saya serta semua ahli keluarga. Kemudiannya saya akan ke masjid untuk sembahyang raya dan menziarahi kubur. Namun terdapat satu amalan yang mesti saya kerjakan setiap tahun di dalam perjalanan saya ke masjid. Saya akan diberikan bungkusan kuih-muih raya untuk saya berikan kepada kelaurga-keluarga Cina di pusat kampung. Maka saya pun akan berjalan ke pusat kampong dan mengetuk pintu kedai kaum Cina di pusat kampung awal-awal pagi. Satu persatu akan saya berikan bungkusan kuih-muih. Dengan senyum mereka akan ucapkan selamat hari raya dan memberikan duit raya — yang pada masa itu tidak lebih dari 20 sen — kepada saya. Kemudiannya, saya akan terus ke masjid.

Saya masih ingat Ah Gek, seorang budak perempuan Cina yang selalu menjaga kedai runcit abangnya di pusat kampung. Cantik juga rupa beliau. Putih kekuningan dan tidak lepa tersenyum pada bila-bila masa sahaja. Dia sedikit tua dari saya. Namun kami seolah-olah membesar bersama-sama, di suatu waktu dan daerah yang asing dan senang dilupai.

Saya belajar di Alor Star, 16 batu dari kampung saya. Setiap hari, pada pukul 5.40 pagi, saya akan dibawa di atas basikal oleh datuk saya ke pusat kampung. Bas akan datang pada pukul 5.50 pagi. Begitulah hidup saya hari ke hari. Saya akan pulang ke rumah pada lebih kurang pukul 3.30 petang setiap hari. Saya terpaksa bersusah-susah begitu kerana datuk dan nenek saya inginkan saya belajar di sekolah "orang putih".

Ketika saya di sekolah berasrama, saya akan pulang sekali sekala ke kampung. Kadang-kalanya saya ke kedai Ah Gek untuk membeli barang-barang rumah. Begitu juga apabila saya di universiti. Apabila saya pulang ke kampung, Ah Gek, yang kini sudah dewasa, masih berada di kedai tersebut. Dia kadang kalanya akan berkata, "whoa... lu sekarang sudah pergi KL ya... manyak jauh ah... bagus la... lu banyak pandai..."

Projek parit gila telah banyak membantu pesawah-pesawah di kampung saya menaikkan taraf hidup. Tidak perlu projek-projek yang berbilion-bilion sebenarnya. Mulanya pesawah-pesawah dapat menanam padi 2 kali setahun. Kemudiannya mereka dapat menanam padi 5 kali di dalam masa 2 tahun. Bayangkan, hanya disebabkan parit gila itu sahaja pendapatan mereka telah naik hampir 3 kali ganda. Pada saya, projek parit gila itu lah projek yang paling berjasa untuk menaiktaraf kehidupan pesawah-pesawah di kampung saya.

Namun kemiskinan dan keperitan hidup masih dirasai oleh semua di kampung saya. Rata-rata kanak-kanak Melayu dan Cina di kampung saya hanya belajar hingga ke Tingkatan 3 sahaja. Terdapat juga keluarga-keluarga Melayu mahupun Cina yang tidak mampu menghantar anak-anak ke sekolah. Saya masih ingat seorang perempuan Cina yang mempunyai lebih dari 10 orang anak yang tinggal berdekatan dengan masjid di kampung saya.

Namun keperitan dan kemiskinan tersebut menjadi lumrah alam yang diterima sebagai satu hakikat. Masyarakat kampung hidup aman. Dan mereka tidak perlu meminta sedekah. Itu yang penting.

Pada kenduri-kenduri perkahwinan, orang-orang Melayu akan menjemput kaum-kaum Cina bersama-sama. Mereka akan datang dan makan di bawah satu bumbung dan bersebelahan tetamu-tetamu Melayu. Pada malamnya, terdapatlah tarian joget atau pertunjukan wayang kulit. Kadang-kadang, sekiranya tuan rumah itu orang yang berada, akan adalah pertunjukan kugiran. Malah kadang-kadang malam itu akan diserikan dengan pertunjukan "hadrah" (pementasan bangsawan tempatan). Hadrah itu sebenarnya dilakonkan oleh pelakon-pelakon lelaki dan pondan. Namun ramai lah orang kampung yang duduk di hadapan pentas hingga lewat malam menikmati cerita yang dilakonkan.

Saya pun selalu menyaksikan persembahan-persembahan tersebut sehingga lewat malam. Maklumlah, itu lah sahaja sumber hiburan kami pada masa itu selain dari radio transistor. Namun, ibubapa saya dan kawan-kawan saya tidak pernah risau tentang keselamatan kami. Pada masa itu, tiada kes-kes penculikan, rogol mahupun pembunuhan kanak-kanak ataupun orang dewasa seperti sekarang ini. kampung itu aman damai walaupun terdapat hanya seorang konstabel polis bagi seluruh kampung. Kes kecurian pun tidak pernah berlaku. Kalau adapun, hanyalah kecurian ayam-ayam dari reban di belakang rumah. Tetapi yang mencuri itu hanyalah beberapa ekor musang dan bukannya manusia.

Apabila keluarga-keluarga Cina mengadakan upacara perkahwinan. Mereka akan membeli seekor lembu dan menyuruh orang Melayu menyembelih dan memasaknya. Orang-orang Melayu dijemput hadir dan makan masakan tersebut. Ramai yang akan hadir bersama meraikan upacara perkahwinan tersebut. Malah kadang-kadang orang-orang Melayu dijemput untuk bersilat. Semasa makan, tidak terlintas pula dikalangan kaum Melayu bahawa pinggan mangkuk, gelas dan cawan atau sudu dan garpu yang digunakan tidak disamak. Malah kadang-kadang, anjing peliharaan tuan rumah itu akan berkeliaran disekeliling rumah kenduri tersebut. Tiada siapa yang hiraukan.

1 comment:

Unknown said...

Artikle ini amat mengharukan hati saya. keamanan dan ketenangan hidup seperti ang saudara ceritakan lah bagi saya adalah yang terbaik.. terima kasih kerana berkongsi..